Di kala subuh selalunya kita akan bersiap sedia memulakan kehidupan. Orang kata kehidupan bermulanya dengan waktu subuh. Apabila matahari mula menyinari bumi dan kehangatan mula terasa, hidup mula berubah. Dari kesejukan dan kedamaian subuh berubah kepada kepanasan dan kesibukan di bawah mentari yang bersinar hangat. Namun, sesekali hujan turun membasahi bumi. Menyejukkan hari dan terkadang menghentikan semua kegiatan seharian.
Begitu juga dengan kehidupan kita. Dalam sibuk kita berjuang untuk mengecapi hidup yang lebih baik, pelbagai masalah dan keperitan yang terpaksa ditempuhi. Tidak semua perkara yang berlaku dalam hidup itu indah. Beruntunglah mereka yang mengecapi keindahan hidup. Namun tak bermakna malang bagi mereka yang sentiasa ditimpa ujian dan keperitan.
Sekali kita melakukan kesalahan, kadang-kadang kita akan dihukum seumur hidup. Tapi, mengapa ada orang lain yang melakukan kesalahan tapi dimaafi dan diterima semula? Adakah hukuman itu memilih? Pilih orang yang tidak berharta, tidak berpengaruh, atau mungkin tidak berkeluarga?
Atau adakah salah kita sendiri kerana tidak pandai memperbetulkan kesalahan kita?
Lihat saja hari ini, ada pesalah yang diterima kembali ke pangkuan masyarakat malah dilantik menjadi ketua. Hairan. Ada yang kata, hukuman yang diterima olehnya sudah memadai. Dia telah membuktikan yang dia sudah berubah. Dia sudah bertekad untuk kembali ke pangkal jalan. Tapi apa yang telah dia lakukan? Orang ramai begitu yakin dan percaya dengan perubahannya? Keliru. Mengapa dia lebih mudah diterima dan disanjung berbanding dengan nasib seorang penagih dadah yang tersilap jalan dan telah insaf tapi terus dibuang oleh keluarga dan masyarakat?
Mungkin ini ialah detik mula bagi masyarakat mengamalkan budaya memaafi. Semoga selepas ini lebih ramai lagi yang dimaafi.
Asalkan jangan tersilap memaafi sudahlah. Fikir, selidik dan perhati sebelum memaafi seseorang. Dan sekiranya dia telah dimaafi, lebih baik kita terus memerhati dan membimbing agar dia tidak kembali melakukan kesilapan.
Semuanya bergantung pada kita untuk mencari sinar selepas subuh. Agar di kala malam, kita mampu tersenyum sebelum tidur.